Home

Kembara

Mengembara pada pemahaman aku ialah untuk belajar, untuk memahami dan merasai sendiri pengalaman hidup di tempat orang, di mana susananya pasti berbeza dari tempat tinggal kita, di mana ianya juga berada di luar zon keselesaan kita. Setiap kembara pula memerlukan hala tuju atau destinasi. Untuk sampai ke destinasi, bergantung lah pada kita yang menentukan jalannya, sama ada mudah mahupun sukar. Destinasi adalah penting, di mana ianya merupakan tanda aras yang akan melengkapkan perjalanan kita. Namun perjalanan itu sendiri adalah cukup bermakna buat diri kita. Setiap keputusan yang dibuat melambangkan siapa diri kira sebenarnya. Berjaya atau tidak suatu kembara itu, kita sudah pun melaluinya. Kenangan kembara itu sudah pasti tersemat erat selamanya dalam hidup kita.

unta
Gunung Sinai, Mesir

Tujuan Kembara

Setiap insan yang mengembara pasti akan ada tujuannya. Tidak kira jauh mahupun dekat, tidak kira lama atau sekejap tempohnya, tidak kira banyak ataupun sedikit yang dibelanjakan dan tidak kira sukar mahupun senang jalannya pasti mempunyai sebab nya tersendiri. Orang yang tiada tujuan dalam setiap kembara dilaluinya samalah seperti orang yang tiada tujuan dalam hidupnya. Maka sebab itulah ramai pujangga-pujangga hebat sering berkata hidup itu sebuah kembara/life is a journey. Memang sangat bertepatan perumpamaan itu, cuma kadang-kadang kita tidak sedar kita sedang melaluinya.

DSCF2067
Alhambra

Bergantung kepada keadaan dan situasi tertentu, tujuan kembara itu boleh berubah dari masa ke semasa. Kadang bila ada yang begitu sibuk dengan rutin seharian hidupnya, mahu keluar berjalan di tempat yang suasananya aman dan tenang, maka dapat lah berehat seketika melupakan kesibukan hidup di hari-hari biasa. Kadang ada orang yang gundah gulana hatinya mahu mengembara agar dapat dilupakan segala masalahnya. Kadang ada yang sentiasa senang hidup nya, ingin merasa kepayahan hidup orang lain. Kadang ada jiwa yang terasa begitu kosong sehingga mahu segera diisinya agar menjadi lebih baik orangnya suatu hari nanti. Ada juga yang pergi mengembara itu atas urusan kerja, mencari ilmu, menimba pengalaman dan tidak kurang juga semata mahu berhibur.

DSCF3424
Menara Pisa, Italy

Apabila sudah tahu apa yang diinginkan atau apa yang diharapkan maka sudah pasti perancangan kembara itu  bersandarkan kepada tujuannya. Orang yang ingin mencari ketenangan kebiasaannya akan mengembara secara solo atau berdua sahaja kerana tidak perlu memikirkan hal orang lain. Orang yang harinya sentiasa sibuk tiada henti akan merancang dengan lebih mudah supaya dapat berehat secukupnya sewaktu mengembara. Orang yang sepi hidupnya akan merancang kembara itu agar dapat berkenalan dengan kenalan yang baru, agar dapat meluahkan sedikit perasaan yang sudah lama terbuku di hati. Ada pun perancangan itu belum tentu lagi berjaya, namun begitulah hasrat pada awalnya.

seoraksan

HongCheon, Korea Selatan

Apa yang cuba disampaikan dalam tulisan ini, tujuan kembara adalah perkara yang sangat subjektif. Lain orang lain caranya, lain niatnya, lain perspektifnya dan juga lain ragamnya. Tidak perlu sesekali untuk kita menilai orang lain hanya kerana kita sudah mengembara beribu batu ke seluruh pelusuk dunia, sudah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran mahupun sudah berpuluh-puluh tahun berkelana di tempat orang.

DSCF2503
London Bridge

Walau apa pun tujuan kita mengembara, sebaiknya biarlah ia membawa perubahan yang positif kepada diri kita. Dari seorang yang baik dulunya menjadi lebih baik setelah mengembara. Dari orang yang kurang agamanya bertambah-tambahlah keteguhan imannya. Dari seorang yang dangkal ilmu menjadi orang yang penuh dengan pengalaman. Sedangkan di dalam islam sekalipun menggalakkan kita berhijrah ke arah kebaikan. Betul, kemana pun kita pergi pasti akan ada kebaikan dan keburukan, pro dan kontra. Buangkanlah yang keruh, ambil lah yang jernih.

DSCF4342
Budapest, Hungary

Salam Perkenalan.

Dalam sejarahnya,

Melayu itu pengembara lautan,

Melorong jalur sejarah zaman,

begitu luas daerah sempadan,

Sayang, kini segalanya kehilangan

-usman awang