SABAH NEGERI DI BAWAH BAYU, MEI 2015

Terletak bersama-sama Sarawak, Brunei dan Kalimantan (Indonesia) di Kepulauan Borneo, Sabah merupakan negeri yang cukup kaya dengan kepelbagaian alam flora dan fauna serta kebudayaan yang unik. Bagi yang minat dan cintanya kepada alam semulajadi, Sabah adalah pilihan tepat. Dari Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia (Taman Kinabalu diwartakan tapak warisan dunia/world heritage site), bunga paling besar di dunia- Rafflesia, hinggalah ke Pulau Sipadan dan Pulau Mabul yang dikenali sebagai salah sebuah tempat terbaik di dunia bagi aktiviti diving.

Gunung Kinabalu
Gunung Kinabalu
gaya street
Gaya Street

Bersandarkan pada itu, aku bersama seorang sahabat telah menjejakkan kaki ke bumi Sabah pada Mei 2015 baru-baru ini. Disebabkan tempoh trip yang agak pendek ( 3 hari 2 malam di guest house sekitar Gaya Street), fokus kami hanya di Kota Kinabalu (KK) dan persekitarannya. Titik-titik menarik yang terletak jauh dari KK kami tinggalkan terlebih dahulu dan insyallah suatu hari nanti sampai lah kami di sana pula. Kami ke KK menaiki pesawat Airasia (RM 250 pergi dan balik) dan tiba di sana kira-kira jam 930 pagi.

Island Hopping

Tanpa melengahkan masa, kami terus bergerak menuju ke destinasi pertama bertempat di Jeselton Point. Kereta sewa (RM 180 untuk tempoh 2 hari) dijadikan sebagai pengangkutan utama kami di sini kerana sistem pengangkutan awam yang kurang memuaskan. Di Jeselton, kami membeli tiket (RM 90 termasuk alatan snorkerling) untuk trip ke pulau-pulau kecil (Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sapi) yang terletak berhampiran sahaja dengan Bandar KK (20 minit perjalanan menaiki bot laju/fiber).

Jeti Pulau Manukan
Jeti Pulau Manukan
Parasailing
Parasailing

Pulau pertama yang kami singgah ialah Pulau Manukan. Di sini kami snorkeling sebentar sebelum menjalankan aktiviti parasailing (RM 100 per kepala). Ini merupakan pengalaman kali pertama aku jadi sudah pasti berdebarnya lebih. Namun bila sahaja ditarik naik ke atas, hilang semua takut dan perasaannya agak flat. Bosan pun ada rasanya cuma permandangan yang sangat cantik menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, sudah pasti aku akan tulis review yang negatif memandangkan tiket yang sangat mahal tetapi aktivitinya pula tidak lah berbaloi mana pun.

Permandangan Manukan di udara
Permandangan Manukan di udara
Mamutik
Mamutik

Di Mamutik pula aktiviti tertumpu hanya kepada aktiviti snorkerling kerana di sini coral dan ikan-ikannya sangat cantik dan unik. Meluangkan masa hampir 1 jam di sini ternyata sangat berbaloi. Tambah lagi pemandu boat/guider membawa kami ke point yang jarang pelancong lawati, di mana tempat ini sengaja di simpan/reserve untuk penduduk tempatan sahaja agar ianya sentiasa terjaga. Katanya, jika dibuka kepada orang ramai terutamanya para pelancong sudah pasti banyak terumbu karang rosak dan mati. Selesai di Mamutik, kami ke Pulau sapi dan di sini kami hanya berehat dan menikmati permandangan di sekitar sahaja.

manukan sapi

Mari-Mari Cultural Village

Pada hari yang sama kami telah ke Mari-Mari Cultural Village (MCV) yang terletak di Inanam, kira-kira 40 minit dari Bandar KK. Hajat di hati mahu makan makanan tradisional orang Sabah. Sayangnya bila sahaja sampai semua staf MCV tercengang bila kami mahu membuat tempahan makanan. Tak disangka rupanya di sini bukanlah  kedai makan tapi sebuah kampung/muzium yang dibina atas tujuan menjaga adat-adat dan kebudayaan pelbagai etnik borneo yang ada di Sabah. Inilah akibatnya bila tersalah informasi. Sudah lah lapar, hendak patah balik ke kedai pun jauh.

Staf-staf Mari-Mari Cultural Village
Staf-staf Mari-Mari Cultural Village

Kami buat keputusan sertai sahaja program ini yang akan bermula sebentar lagi. Kata staf di kaunter, pakej program (RM 80) ini sudah termasuk makan jadi tidak perlulah kami mencari kedai makan lagi. Sementara menunggu program bermula, ada staf yang baik hati memberi kami makan. Mungkin tidak sampai hati agaknya melihat kami tidak bermaya akibat kelaparan. Aku terharu namun juga masih lapar!!

mcv
Staf membuat briefing

Secara ringkasnya, MCV bertujuan mempromosikan sejarah, kebudayaan dan juga tradisi etnik- etnik Borneo supaya ianya tidak luput ditelan zaman. Berlansung selama lebih kurang sejam setengah, ternyata program ini sangat berbaloi untuk disertai. Para pelancong akan diletakkan di dalam satu kumpulan (10 orang) di mana kumpulan itu akan dibawa oleh seorang staf MCV berjalan ke seluruh kampung. Sepanjang perjalanan, beliau akan memberi informasi supaya kami mudah faham dan bersedia untuk sebarang pertanyaan dari peserta jika ada.

mcv 1
Rumah Kadazan-Dusun

Terdapat banyak suku etnik di Borneo namun yang ditekankan dalam program ini hanya suku-suku utama iaitu Kadazan-Dusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut. Kami telah didedahkan berkenaan dengan cara hidup dan bagaimana mereka mendirikan rumah, kepercayaan yang dianuti, sistem kekeluargaan serta banyak lagi. Suku Kadazan-Dusun contohnya terkenal dengan pertaniannya, Rungus dengan rumah panjangnya, Lundayeh sebagai nelayan dan pemburu yang hebat, Bajau yang sangat sinonim dengan orang laut dan juga suku Murut si pemburu kepala musuh.

Mengakhiri program, kami disajikan dengan persembahan kebudayaan dari staf-staf MCV sambil menikmati hidangan yang disediakan. Dapat juga kami makan akhirnya setelah satu hari tidak menjamah makanan. Alhamdulillah. Ketika sedang makan aku sempat bertegur sapa dengan pasangan berasal dari Perancis yang turut sama menyertai program ini. Mereka mengembara ke seluruh dunia semata-mata untuk aktiviti diving. Kata mereka diving di Sipadan dan Mabul adalah yang terbaik di dunia. Sebagai rakyat Malaysia, aku berasa bangga dan berharap satu hari nanti aku pula dapat pergi ke sana.

Water Rafting

Hari ke dua, kami ke Pekan Kiulu untuk aktiviti water rafting (RM 80 per kepala). Untuk menyertai aktiviti water rafting sepatutnya perlu membuat tempahan awal (selewat-lewatnya sehari sebelum) dan kami lansung tidak tahu akan perkara ini. Hendak juga kabulkan hajat di hati, kami tetap pergi ke Kiulu. Caranya kami bergerak awal pagi dan berharap nama kami dapat diselitkan ke dalam mana-mana kumpulan.

Semasa dalam perjalanan kami sempat singgah di Jambatan Tamparuli dan melawat pasarnya.

Tamparuli
Tamparuli

Meneruskan perjalanan, kami tersesat sebanyak 2 kali sebelum sampai. Kedua-dua jalan yang kami lalui bertemu jalan mati namun mujurlah ada warga tempatan yang menolong kami dan akhirnya sampai di Kiulu kira-kira jam 830 pagi (water rafting bermula 9 pagi).

Di Sabah ada dua tempat yang terkenal untuk aktiviti ini, satu di Kiulu dan satu lagi di Padas. Kami memilih Kiulu (level 1-2) kerana dangerous level yang lebih rendah berbanding Padas (level 3-4). Ini pengalaman pertama aku jadi berpadanan lah dengan kemampuan diri sendiri. Namun risau di hati tetap ada. Takut jugak rakit itu terlingkup dan aku pula hilang entah ke mana.

water rafting 1

Rafting_kiuluRoute water rafting sejauh 15 km mengambil masa lebih kurang 5 jam. Ternyata aktiviti ini cukup mencabar, perlu stamina yang tinggi dan juga jurumudi yang pandai mengawal rakit. Tiga kali rakit terlingkup, seronok juga rasanya. Namun jatuhannya adalah normal dan ada yang disengajakan oleh jurumudi yang membawa kami.  Beliau ada memberitahu kami jika pada musim hujan, rakit boleh melompat sehingga 10 kaki tingginya.

Kundasang

Selesai water rafting, kami terus bergerak ke destinasi seterusnya di Kundasang. Perjalanan dari Kiulu ke pekan Kundasang mengambil masa kira-kira 2 jam (70 km jarak perjalanan). Sebelum bertolak kami ada bertanya kepada penduduk tempatan mengenai keadaan jalan raya sepanjang perjalanan ke Kundasang. Dan ternyata, apa yang dibayangkan oleh mereka adalah betul. Jalan yang kecil (bahu jalan hanya cukup syarat) dan sangat curam, tiada pembahagi dan penghadang jalan, safety meausure yang sangat lemah menyebabkan kami terpaksa memandu kereta pada kelajuan yang minima (40-50 km/hr secara purata). Maka tidak peliklah jika 2 jam diperlukan untuk sampai walaupun jaraknya hanya 70 km!!!

Kiram's Vilage di Kundasang
Kiram’s Vilage di Kundasang

Permandangan di Kundasang sememangnya sangat berbaloi untuk dijamu dengan mata dan jiwa sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Memang indah dan memang mendamaikan hati. Tidak rugi rasanya setelah penat mengharungi jalan yang menyeramkan tadi. 1 jam pertama di Kundasang, kami meluangkan masa hanya untuk mengagumi keindahan alam ini. Puncak Gunung Kinabalu pula sayup-sayup sahaja kelihatan dari sini.

Landskap Kundasang
Landskap Kundasang

Akibat masa yang tidak mengizinkan, kami terpaksa pulang awal ke KK kerana bimbang kan keselamatan di jalan raya semasa balik nanti. Penduduk tempatan menasihati kami agar pulang sebelum menjelang malam kerana jarak penglihatan yang sangat terhad (gelap dan kabus yang sangat tebal) dan ada pula sesetengah pengguna jalan raya (terutamanya pemandu lori) yang tidak gemar memasang lampu kenderaan.

Desa Dairy Farm
Desa Dairy Farm

Masyarakat Majmuk dan Hati yang Satu

Pemerhatian aku sepanjang keberadaaan di sini, walaupun Sabah mempunyai masyarakat yang majmuk namun hati mereka tetap teguh bersatu. Mungkin dalam tempoh yang terlalu singkat tidak dapat kita menghakimi segalanya, namun bila dibandingkan dengan keadaan di Semenanjung Malaysia ternyata jauh bezanya. Masalah perkauman sepertinya tidak pernah timbul di sini. Mereka hidup untuk menghormati antara satu sama. Mereka juga sangat peramah dan tidak kekok membantu para pelancong yang memerlukan pertolongan.

“We travel not to escape life, but for life not to escape us.” – Anonymous

Advertisements

PULAU PERHENTIAN, FEB 2013

Jeti Pulau Perhentian Kecil
Jeti Pulau Perhentian Kecil

Pagi Feb 2013, aku bersama tujuh lagi teman bertolak dari Kuala Terengganu ke Kuala Besut dan dari situ kami menaiki bot laju/ bot fiber ke Pulau Perhentian. Kami bergerak awal pagi (jam 53o pagi) kerana mengejar trip pagi ke Perhentian. Pun begitu, pada awalnya kami tersesat hampir ke Tok Bali (30 minit dari Kuala Besut) kerana kecuaian aku memberi direction. Dijadikan cerita, antara kami semua hanya aku seorang asal dari Terengganu, jadi semuanya berharap pada aku. Malangnya mereka tidak pula tahu aku buta jalan orang nya. Mujur lah kami masih berjaya sampai di Jeti on time. Cuma cacian serta makian dari teman-teman aku tidak berjaya elak, tadah semuanya dengan hati yang reda.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Perjalanan bot (RM 60 tiket pergi dan balik) laju mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke Perhentian Kecil. Ombak boleh dikatakan agak besar dan kami pula menaiki bot yang kecil. Akibatnya semua tidak berhenti melambung sehingga sampai. Kawan aku yang awal-awal tadi berebut-rebut hendak duduk di depan mula menyesal kerana mereka lah yang paling kuat melambung.

Bot yang biasa digunakan untuk membawa pelancong ke Perhentian
Bot yang biasa digunakan untuk membawa pelancong ke Perhentian

Sampai di Jeti, kami semuanya terpegun dengan keindahan pulau ini. Jiwa pun sudah mula berasa tenang melihat kejernihan air pantai, pasir yang halus dan sudah semestinya hidupan laut yang sangat cantik. Jauh lah beza suasananya bila berada di kota. Di sini kami menetap di Shangri-la Resort (RM 250 untuk satu malam dengan kapasiti 5-6 orang) untuk tempoh 3 hari 2 malam.

Kami tiada perancangan yang tetap sepanjang berada di sini. Matlamat utama hanya untuk menenangkan fikiran dan melepaskan tension, jadi kalau ada aktiviti tambahan seperti snorkerling boleh dijadikan sebagai bonus. Tengok sahaja pada hotel yang kami sewa, keluar ke anjung tersergam indah laut dan pantai bersatu sehingga seluas-luas mata memandang. Angin pula tidak henti bertiup seolah- olah mahu kami semua pergi bersama meninggalkan segala keluh-kesah kehidupan.

malaysia_islands_home01

Kami menggunakan tangga ini sebagai jalan pintas ke Long Beach
Kami menggunakan tangga ini sebagai jalan pintas ke Long Beach

Lewat petang kami keluar berjalan ke Pasir Panjang atau lebih dikenali sebagai Long beach (30 minit berjalan) yang dikatakan terkenal dikalangan pelancong-pelancong asing sebagai tempat berjemur. Hampa juga terasa, bila sahaja sampai, keadaan sangat lengang. Lansung tidak kelihatan pelancong apatah lagi kedai-kedai makan. Melihatkan pada gambar-gambar di internet suasananya sangat meriah, seakan-akan Long Beach di California pada musim panas. Kami kemudiannya diberitahu oleh seorang pak cik nelayan bahawa keadaan sebegini pada penghujung musim tengkujuh sememangnya biasa. Ombak masih kuat lagi sehinggakan pada waktu pasang puncak air boleh sampai ke dalam kedai-kedai makan. Kebiasaannya peniaga-peniaga ini akan mula membuka kedai di awal bulan tiga sehingga bulan sepuluh sebelum musim tengkujuh bermula.

Long Beach
Long Beach
Shark Point
Shark Point

Hari kedua di Perhentian kami menjalankan aktiviti snorkeling (Rm 50). Kami bermula pada waktu pagi dan selesai pada waktu petang. Snorkerling di sini ternyata sangat unik. Di samping kepelbagaian ikan dan batu karang yang sememangnya cantik, kami juga berpeluang berenang bersama penyu dan ikan jerung yang bersaiz kecil. Cuma perlu berhati- hati kerana kedua- dua penyu dan ikan jerung boleh menyerang kita sekiranya mereka berasa terancam. Pelancong pula tidak lah terlalu ramai ketika ini (penghujung musim tengkujuh), jadi kami berasa lebih selesa. Cuma ombak kadang-kadang agak besar sekaligus membataskan masa kami di dalam air akibat kepenatan berenang melawan arus.

maxresdefaultPerhentian 7snorkelling-Pulau-Perhentian (1)a072e54f80fec349dd635587ece22ef8

Menjelang malam terakhir di sini kami semua membakar ayam di perkarangan resort. Sambil membakar ayam kami bersembang dan bercerita tentang banyak perkara dan main point nya sudah pasti perancangan masa depan. Sudah habis belajar dan mula berkerja, semuanya ada cita-cita yang dikejar dan berharap dapat menggapai nya suatu hari nanti. Insyallah.

malaysia_islands_FAQ01

Esok seawal pagi lagi kami pulang. Berjalan ke Pulau Perhentian untuk short time vacation sememangnya sangat berbaloi. Jikalau ada masa, ada rezeki aku tidak teragak- agak untuk kembali bersantai dan menikmati keindahan Pulau Perhentian sekali lagi. Teringat pula perbualan aku bersama seorang warga Amerika ketika berada di Greece. Beliau mempersoalkan kenapa aku sanggup pergi sejauh ini sedangkan di Malaysia pantai dan pulau nya jauh lebih cantik. Cantik nya pulau dan pantai kita ini bukan lah suatu ilusi atau fantasi, ianya semata realiti. We should feel proud and grateful for what we have then. 

Diving juga menjadi salah satu tarikan utama di Perhentian  namun kami belum sempat mencuba
Diving juga menjadi salah satu tarikan utama di Perhentian namun kami belum sempat mencuba

PESTA CANDAT SOTONG ANTARABANGSA, MEI 2014

Sebagai anak jati Terengganu, tidak lah lengkap jika aku tidak menyertai pesta candat sotong antarabangsa yang diadakan setahun sekali di pelbagai tempat di sekitar perairan Terengganu ini. Sejarahnya, candat sotong sudah menjadi aktiviti zaman berzaman lagi oleh para nelayan di Terengganu sebagai salah satu mata pencarian hidup. Namun sejak kebelakangan ini, aktiviti candat sotong menjadi terkenal setelah dipromosi secara besar-besaran oleh pelbagai pihak terutamanya Kerajaan Negeri Terengganu.

Jeti Seberang Takir
Jeti Seberang Takir

Aku menyertai aktiviti ini melalui ayah saudara aku yang sudah sememangnya sangat arif dalam bidang ini. Kalau diikutkan minat, memancing (candat sotong sama kategori dengan memancing) ini bukan pilihan aku, namun tidak menjadi masalah asalkan aku dapat mencuba sesuatu yang baru dalam hidup aku. Kalau tidak dapat banyak sotong pun aku tidak risau, sekurang-kurangnya aku dapat pengalaman baru. Pada aku, membuat/mencuba sesuatu yang baru adalah proses mencari ilmu, dan mencari ilmu itu tidaklah pernah sia-sia usahanya.

Bot nelayan yang biasa dilihat di Terengganu
Bot nelayan yang biasa dilihat di Terengganu
Persiapan alatan candat
Persiapan alatan candat

Aktiviti candat sotong yang aku sertai ini hanya mengambil masa selama satu hari satu malam. Aku bergerak bersama-sama seorang tekong, ayah saudara aku dan 3 orang yang lain (semuanya kawan ayah saudara aku) menaiki bot nelayan (kapasiti 8-10 orang). Melihatkan pada bot takut juga rasanya dengan keadaannya seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Persediaan alatan candat sudah disiapkan oleh ayah saudara aku dan aku pula makan 2 biji pil mabuk laut supaya tidak pening dan muntah ketika sampai di tempat yang ditujui nanti.

Perjalanan bermula selepas kami selesai solat asar (kira-kira jam 4:30 petang) dan ia mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke destinasi. Sepanjang perjalanan ini, aku berasa sungguh tenang. Kelajuan bot yang kami naiki pada pace yang sangat perlahan, jadi aku sempat menikmati permandangan Bandar Kuala Terengganu dari sudut dan perpekstif yang berbeza. Sungguh indah dan cantik, sekali tengok tak ubah seperti New York (bandar terletak di persisiran air).

Pulau Duyong
Pulau Duyong
Bandar Kuala Terengganu
Bandar Kuala Terengganu

Sampai sahaja di destinasi (destinasi berpandukan kepada sistem GPS yang diguna pakai oleh tekong), aku melihat banyak bot sama seperti kami naiki berpusu-pusu mencari tempat yang sesuai untuk memulakan aktiviti candat (kebiasaannya aktiviti ini dilakukan di pesisir laut/hujung pantai). Matahari pula beransur-ansur turun memberi laluan kepada bulan untuk menjalankan tugasnya. Ini merupakan pengalaman pertama aku menikmati sunset di tengah lautan dan ia begitu cantik sekali.

Bot-bot mula mencari tempat yang sesuai untuk candat sotong
Bot-bot mula mencari tempat yang sesuai untuk candat sotong
Hasil pertama
Hasil pertama

Tanpa melengahkan masa, kami mula memasang alatan candat. Namun dalam tidak sedar  aku mula berasa loya,kepala pula berdenyut, badan berpeluh dan tidak mampu untuk fokus. Jadi sejam pertama, kerja aku bertarung dengan mabuk laut sahaja sambil melihat mereka mula mencandat. Begini lah nasib bila seorang amatur seperti aku pergi bercandat bersama-sama pro seperti mereka ini.

Sejam berlalu dan aku mula beransur pulih. Tanpa melengahkan masa aku segera mencandat. Caranya tidak lah terlalu susah tetapi memerlukan kesabaran. Tali umpan perlu di lempar sehingga menjejak dasar dan untuk mengumpan perlu menarik dan melepaskan tali secara perlahan-lahan. Umpan mengena apabila terasa berat menarik tali umpan. Selebihnya adalah waktu menunggu dan bersabar.

Sotong yang bersaiz besar
Sotong yang bersaiz besar

Kami bercandat sepanjang malam namun mengikut perkiraan tekong, hasil yang kami perolehi tidak begitu memuaskan. Banyak juga kami bertukar tempat baru dengan harapan bertambah hasil, tetapi masih lagi mengecewakan. Mungkin bukan rezeki kami malam ini. Namun pada aku sedikit pun tidak terasa kecewa. Banyak benda yang aku dapat pelajari pada malam itu. Aku berada di tengah-tengah lautan, di dalam bot yang kecil dan usang, di tengah waktu kegelapan malam dan ketika ini aku mula terasa betapa hebat nya ciptaan tuhan, pencipta sekelian alam dan betapa kecilnya aku di dunia ini. Sungguh sempurna alam ini sehingga aku merasakan tidak berhak sedikit pun untuk aku menjadi angkuh dan sombong.

Hasil yang diperoleh sepanjang malam
Hasil yang diperoleh sepanjang malam

Pengamatan aku, aktiviti ini lebih seronok jika dijalankan bersama teman-teman rapat. Jika tiada hasil, sekurang-kurangnya boleh bersembang sesama teman. Mencandat sotong ini juga sangat sesuai untuk sesiapa sahaja yang mencari kelainan. Tidak rugi jika mencuba asalkan ada kesabaran dan minat.

Pagi selepas tamat waktu subuh, kami mula bergerak balik. Aku sempat menikmati sunrise dan permandangannya juga sangat cantik. Sotong yang diperolehi pula dibahagi sama rata. Aku pulang dengan sedikit hasil namun dengan pengalaman yang cukup bermakna, ALLHAMDULILLAH.

20140412_063450

Sunrise
Sunrise